Pembunuhan Darvinrajh – Tiga didakwa tikam

Alor Gajah, Sep 27.
Tiga pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan membunuh rakan mereka, dua minggu lalu.

Tertuduh A A Dinesh, R C Veeraganeish dan V Sasikumar yang masing-masing berusia 25 tahun hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mencapai niat bersama telah melakukan bunuh hingga menyebabkan kematian terhadap R Darvinrajh, 24.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 5.24 pagi hingga pukul 9 pagi di tepi jalan berdekatan kebun kelapa sawit Kemuning, Pulau Sebang dalam daerah Alor Gajah pada 10 September 2023. Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Majistret kemudian menetapkan 27 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan seorang pemuda, R Darvnrajh hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Tampin, Negeri Sembilan.

Kehilangannya kemudian terungkai apabila mayat pemuda itu ditemui dalam semak di kawasan Kemuning, Alor Gajah pada 16 September lalu.
Hasil laporan bedah siasat mendapati mayat mangsa mempunyai 18 kali kesan tikaman antaranya di leher, dada, kedua-dua belah kaki dan tangannya.

Polis kemudian menggerakkan operasi Op Kejam melibatkan sepasukan pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) dan Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Alor Gajah dan menahan enam suspek yang merupakan rakan mangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here