Dua maut keracunan makanan disediakan program sekolah

Gombak, Jun-
Seorang budak perempuan berusia dua tahun dan remaja 17 tahun maut, dipercayai akibat keracunan selepas memakan bihun dan telur goreng yang dibawa pulang daripada sebuah sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata pihaknya menerima laporan daripada keluarga kedua-dua mangsa berhubung kejadian itu semalam.

“Mangsa pertama berusia 17 tahun memakan makanan yang dibawa balik oleh ibunya daripada satu program di sebuah sekolah di sini. Mangsa serta ibu dan bapanya mengalami cirit birit selepas memakan makanan itu kelmarin.

“Pada jam 1.30 tengah hari semalam mangsa mula tidak sedarkan diri lalu bapanya menghubungi talian kecemasan MERS 999 dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata, mangsa kedua adalah anak kepada seorang pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah berkenaan.

“Pada jam 10.45 malam kelmarin, mangsa mengalami demam, muntah-muntah dan cirit-birit lalu dibawa ke Hospital Selayang oleh ibunya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Selayang bagi tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, siasatan setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut .

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here