Polis tahan 2 pekerja kilang hasilkan bom sendiri

Butterworth, Okt 10.
Polis menahan dua pekerja kilang yang mempelajari cara menghasilkan bom buatan sendiri melalui satu laman web dalam serbuan di kawasan flat Taman Pandan, di sini, malam tadi.

Penahanan lelaki warga tempatan berusia 32 tahun dan rakan serumahnya yang juga wanita warga asing berusia 38 tahun itu dibuat pada kira-kira jam 8.30 malam, selepas polis menerima panggilan berhubung kejadian letupan yang berlaku di hadapan koridor sebuah rumah di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie, berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita pada jam 1.05 tengah hari semalam yang memaklumkan menjumpai satu bungkusan dipercayai bahan letupan di rumah flat berkenaan.

Beliau berkata, sebelum itu wanita terbabit memaklumkan berlaku kejadian letupan kira-kira jam 12.56 tengah hari sehingga dia menghubungi polis bagi tindakan selanjutnya.

Pihak polis daripada Unit Pemusnah Bom (UPB), Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) kemudian digerakkan ke tempat kejadian.

Hasil pemeriksaan mendapati bahan letupan itu adalah peranti letupan yang sudah diubah suai.Susulan itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara menjejaki suspek yang meninggalkan bahan letupan berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Mohd Asri berkata, hasil soal siasat terhadap suspek pertama membawa kepada penemuan satu lagi bom dan peluru buatan sendiri termasuk merampas sepucuk pistol serta kerambit.Mereka mengaku mempelajari cara membuat bom melalui laman web dan memperoleh bahan bagi menghasilkan bahan letupan itu menerusi pembelian secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan hasil ujian saringan air kencing dijalankan mendapati suspek bebas daripada dadah.

“Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 8 Akta Senjata 1960,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here