Pemantauan ditingkatkan, elak Koc khas wanita MRT disalah guna lelaki

Petaling Jaya, Okt 12.
Rapid Rail Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan MRT, akan berusaha meningkatkan kesedaran mengenai koc khas wanita dan menggiatkan pemantauan untuk mengelak koc sedemikian disalah guna penumpang lelaki.

Ketua Jabatan Operasi Perkhidmatan MRT Laluan Kajang Sofiah Hussien mengakui ada lelaki yang menyalahgunakan kemudahan khas untuk keselamatan wanita itu sejak diperkenalkan pada 18 Sept.

Koc khas wanita diperkenalkan sebagai projek perintis di MRT laluan Kajang susulan peningkatan aduan gangguan seksual dalam kalangan pengguna pengangkutan awam.

Namun penumpang lelaki tetap memasuki koc khas wanita itu, yang terletak di bahagian tengah kereta api MRT, tanpa menghiraukan warna merah jambu terang, papan tanda “koc untuk wanita sahaja”, dan kawasan khas yang ditandakan pada platform.

Publisiti menerusi media massa dan media sosial, kempen kesedaran, pengumuman di stesen dan dalam kereta api, selain notis tambahan akan dipertingkatkan, kata Sofiah kepada FMT.

Pemantauan polis bantuan juga akan dipergiatkan untuk memastikan perjalanan lebih selesa, mudah dan selamat bagi semua penumpang, katanya.

Pengguna pengangkutan awam, Nurul Rahim berkata, kehadiran polis bantuan sama ada dalam koc atau di stesen dapat membantu orang ramai lebih patuh.

Khususnya pada waktu puncak, perlu ada pengawalan apabila ada lelaki memasuki koc wanita. Kita perlu lebih peka, jadi jika nampak sesuatu, bersuaralah, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here