Hanya 39.67% pekerja domestik asing dilindungi PERKESO.

Hanya 39.67 peratus pekerja domestik asing yang dibawa masuk untuk berkhidmat di Malaysia dilindungi skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Perangkaan itu ternyata masih rendah, berbanding keseluruhan kira-kira 95,000 pekerja domestik asing yang berada di negara ini, sekali gus menjadikan mereka terdedah kepada risiko bencana pekerjaan dan tidak diberikan keadilan sosial sewajarnya.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, ketika mendedahkan perkara itu berkata semua pekerja domestik, termasuk dalam kalangan buruh asing diwajibkan untuk mendaftar dan mencarum dengan PERKESO, berkuat kuasa sepenuhnya bermula 1 Jun 2022.

Bagaimanapun, katanya, perangkaan mengenai jumlah liputan caruman bagi pekerja domestik asing menunjukkan bahawa ada segelintir majikan di negara ini yang masih tidak akur terhadap arahan berkenaan.

“Mulai 1 Januari 2019, kerajaan menerusi PERKESO mewajibkan setiap pekerja asing untuk berdaftar dan mencarum Skim Bencana Kerja menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Liputan jaringan keselamatan sosial ini selari Konvensyen 19 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Layanan Saksama (Pampasan Kemalangan) 1925 yang diratifikasi Malaysia.

“Berkuat kuasa 1 Jun 2021, perlindungan sosial ini kemudian diperluas supaya turut meliputi pekerja domestik asing yang berkhidmat di Malaysia, sekali gus mencerminkan kecaknaan kerajaan terhadap kebajikan bagi sektor ekonomi penjagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penghargaan dan Makan Tengah Hari PERKESO yang diadakan bersama duta serta wakil daripada negara sumber, di ibu negara, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Norison Ramli; Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Majlis penghargaan ini juga diserikan dengan kehadiran 11 wakil kedutaan dan pejabat pesuruhjaya tinggi, iaitu dari Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Pakistan, Vietnam, Thailand, China, Kemboja serta Filipina.

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata kerajaan ketika ini dalam usaha meningkatkan tahap jaringan perlindungan sosial kepada pekerja asing yang ternyata menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, kementerian sedang memuktamadkan rancangan untuk memperluas Skim Keilatan yang diperuntukkan menerusi Akta 4 supaya turut meliputi pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini.

“Langkah ini akan memberi keadilan sosial kepada pekerja yang berkhidmat di pelbagai sektor dan industri, termasuk buruh asing,” katanya.

Untuk rekod, seramai 1.78 juta pekerja asing aktif dilindungi menerusi Skim Bencana Kerja Pekerja Asing PERKESO setakat 1 Oktober lalu. Sehingga kini, sebanyak 37,328 insiden kemalangan membabitkan pekerja asing dilaporkan ke PERKESO, dengan jumlah bayaran manfaat keselamatan sosial yang sudah dilunaskan kepada Orang Berinsurans dan waris menjangkau RM76.57 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here