Kuala Lumpur, Nov 27.
Bekas Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy telah menubuhkan satu parti baharu yang dikenali sebagai Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia atau Urimai.
Urimai merupakan perkataan dalam bahasa Tamil yang bermaksud hak rakyat dan kaum.
Ramasamy berkata, penubuhan itu dibuat bersama beberapa rakan lain termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees dan bekas Ketua Cawangan DAP Batu Kawan, David Marshel.
“Kami sudah hantar permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan sedang menunggu untuk diluluskan.
“Ia bagi memperkenalkan Urimai kepada masyarakat India kerana mereka ini adalah kelas bawahan. 75 peratus masyarakat India adalah golongan pekerja dan satu kaum yang ditindas dan dipinggirkan,” katanya .
Kata bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu lagi, dengan penubuhan Urimai, beliau berharap agar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan lebih menghormati kaum India di negara ini.
Saya dan rakan-rakan menubuhkan parti baharu ini selepas melihat kaum India di negara ini diabaikan dan hak mereka seolah-olah dinafikan. 18 tahun saya dalam DAP, mereka kata Pakatan Harapan yang juga ada PKR adalah parti pelbagai kaum sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Saya lihat, politik pelbagai kaum yang diamalkan PH sangat mengelirukan. Dalam DAP, ada 20 peratus kaum India manakala 40 peratus dalam PKR. Walaupun kaum India bukan besar, tetapi penglibatan mereka dalam DAP dan PKR hebat, katanya.