Luxembourg kejutkan Republik Ireland dengan 1-0

Republik Ireland dikejutkan 0-1 oleh pasukan kerdil Luxembourg pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 di Dublin pada Sabtu dengan kapten pasukan tuan rumah menggambarkan kekalahan itu sebagai “memalukan”.

Pemain tengah Luxembourg, Gerson Rodriguez, memastikan kekalahan kedua berturut-turut Ireland dalam aksi Kumpulan A apabila menjaringkan gol kemenangan lima minit sebelum tamat permainan.

“Ia adalah malam yang teruk dan memalukan,” kata kapten Ireland, Seamus Coleman.

“Kami mendapat apa yang selayaknya. Saya tidak fikir kami berusaha secukupnya dalam padang dan gagal mengawal permainan secepat yang kami mampu.”

Ireland kini berada di tangga tercorot kumpulan dengan tanpa sebarang mata, empat mata di belakang pendahulu kumpulan, Serbia dan Portugal, yang seri 2-2 di Belgrade pada perlawanan lain.

Luxembourg pula kurang satu mata di belakang dua pasukan di hadapannya selepas kemenangan yang jarak berlaku dalam kempen kelayakan Piala Dunia untuk sebuah negara yang kecil.

Kemenangan di Stadium Aviva itu hadir selepas permainan bijak dari Rodrigues, 25, yang menjaringkan gol antarabangsa keenam dalam kerjayanya.

Luxembourg tidak pernah layak ke  mana-mana kejohanan besar dan juga tidak dijangka akan melepasi Kumpulan G untuk ke Piala Dunia 2022 di Qatar.

Bagaimanapun, walaupun dari negara dengan populasi yang lebih kecil dari bandar raya besar di Eropah, skuad kendalian Luc Holtz memberikan kekalahan memalukan kepada Ireland.

Stephen Kenny masih memburu kemenangan pertama sebagai jurulatih Ireland, dan kini sudah 10 perlawanan tanpa menang sejak mengambil alih tugas pada tahun lepas.

Beliau mempunyai peluang seterusnya untuk menamatkan kemarau kemenangan apabila menentang tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar pada satu perlawanan persahabatan di Debrecen di Hungary pada Selasa ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here