Kuantan, Dis 29.
Seorang pesara wanita berusia 65 tahun di daerah ini kerugian RM730,000 akibat diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui laman sosial Instagram.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, wanita terbabit berminat menyertai satu skim pelaburan saham yang dijanjikan keuntungan sebanyak 20 peratus melalui laman sosial itu pada 14 Mac lalu.
Katanya, mangsa kemudiannya membuat pendaftaran melalui satu laman sesawang iaitu platform saham bagi tujuan pelaburan.
Sepanjang tempoh dari 20 April hingga 9 Jun lalu, mangsa memindahkan wang berjumlah RM730,000 dengan melakukan 19 transaksi kepada 14 akaun yang berbeza.Pada peringkat awal, mangsa berjaya mengeluarkan wang keuntungan berjumlah RM5,000. Bagaimanapun, selepas itu, laman sesawang terbabit tidak dapat diakses.
Siasatan mendapati sumber kewangan adalah daripada wang simpanan sendiri dan pinjaman daripada rakan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya dalam kenyataan hari ini.





















