Heroin RM7.89j dalam arca katak

Kuala Lumpur, Jan 10.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggagalkan cubaan menyeludup heroin dianggar bernilai RM7.89 juta yang disorok dalam arca berbentuk katak.

Kejayaan itu hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Biro Narkotik Hong Kong.

Serbuan dibuat 5 Januari lalu oleh JSJN ke sebuah kondominium mewah di Jalan Sultan Ismail, di sini, hasil perkongsian maklumat daripada HKNB dan berjaya menahan tiga individu berusia 25 hingga 48 tahun, termasuk seorang wanita.

Dalam gerakan itu, polis juga menemukan dan merampas 74.03 kilogram (kg) serbuk bahan kimia dan 7.41kg heroin base atau heroin tulen dianggarkan bernilai RM7.89 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din, berkata mereka yang ditahan dalam serbuan itu ialah seorang lelaki tempatan, seorang lelaki warga Hong Kong dan seorang wanita warga Mongolia.

Katanya, ketiga-tiga suspek terbabit direman tujuh hari sehingga 12 Januari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here