Pengasuh didenda RM10,000

Kuala Lumpur, Jan 24.
Seorang pengasuh didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan menampar dan mengetuk dahi seorang bayi lelaki berusia 11 bulan hingga menyebabkan kecederaan awal bulan ini.

Tertuduh, Norliza Osman, 42, mengaku salah sebaik pertuduhan ke atas kesalahan dilakukan di sebuah kediaman di Putrajaya itu dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

“Saya mengaku (bersalah),” katanya ringkas.

Hakim turut mengarahkan tertuduh yang juga Ibu kepada dua anak itu berkelakuan baik dengan bon jaminan RM3,000 selama tiga tahun. Tertuduh turut diarah melakukan khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, Norliza sebagai orang yang dipertanggungjawabkan menjaga seorang bayi lelaki didapati menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan di sebuah kediaman di Presint 9 di Putrajaya, antara 10 pagi hingga 12 tengah hari, 2 Januari lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here