Kuala Lumpur, Jan 26.
Cadangan mewujudkan kakitangan awam tidak berpencen juga akan terpakai kepada ahli politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara prinsipnya beliau sudah bersetuju dengan apa saja keputusan untuk penjawat awam turut terpakai kepada ahli politik.Begitupun, tegas beliau, ia hanya akan dimuktamadkan selepas kajian selesai dan juga selepas Jemaah Menteri membuat keputusan. “Keputusan yang terpakai kepada penjawat awam akan terpakai juga kepada ahli-ahli politik.
“Maknanya kalau kita mula pada 1 Februari 2024, semua kemasukan baharu itu tidak berpencen, maka itu juga sama untuk semua pelantikan ahli politik. Jadi ada orang kata mengapa tidak ahli politik? Tidak.“Soal yang lain, ada yang pernah jadi Menteri Besar, kemudian jadi Menteri, Timbalan Perdana Menteri, itu peruntukan dalam Perlembagaan.
“Kita boleh kaji tapi kita tak boleh ke belakangkan retrospektif. Untuk yang baharu, kita boleh kaji,” katanya.
Tambah beliau, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung isu tersebut dan akan disusuli oleh beliau.
“Ada banyak kekeliruan. Semua kerajaan daripada Perdana Menteri sebelumnya sampai sekarang, semua menyatakan bahawa mana-mana negara…dengan kedudukan ekonomi begini, tidak mungkin bertahan kalau tidak ada sesuatu yang dilakukan.
“Jadi, dengar dulu cadangan dikemukakan, bahas dulu, teliti, bagi pandangan. Apa yang sesuai dilakukan kerajaan akan dilakukan dan kemudian kita akan muktamadkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sebelum makan tengahari bersama rakyat di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada Jumaat.




















