George Town, Jan 27.
Taktik sindiket dadah menyimpan bekalan ganja dalam kubur Cina di Mount Erskine, Pulau Tikus di sini bagi mengelak dikesan pihak berkuasa berjaya dibongkar polis dalam siri serbuan selepas menahan dua lelaki tempatan dan merampas dadah bernilai RM496,088 pada Rabu dan Khamis lepas.
Dalam siri serbuan itu, pihak polis berjaya merampas antaranya 100 bungkusan ganja mampat disembunyikan dalam sebuah kubur Cina lama yang dipercayai dikorek lubang kira-kira 60 sentimeter untuk menyimpan stok ganja tersebut.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, dalam siri serbuan itu, pihak polis pada mulanya menahan seorang lelaki berusia 50 tahun di tepi jalan di kawasan Estate Hong Seng pada 4 petang dan merampas ganja seberat 7.82 gram (g) bersamanya.
“Polis kemudiannya menahan seorang lelaki berumur 35 tahun kira-kira 300 meter dari tempat suspek pertama ditahan dan merampas ganja serta syabu bernilai hampir RM10,000,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.





















