Kuala Lumpur, Feb 1.
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengajak rakyat untuk menyemai benih budaya perpaduan dan membuang mesej berbaur kebencian dengan sikap berkasih sayang juga rahmah antara satu sama lain.
Menerusi mesej sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan hari ini, Perdana Menteri berkata ia juga selaras dengan konsep Madani yang menuntut rakyat menyantuni semua dan bermuafakat dalam menjayakan agenda pembangunan di negara ini.
“Selamat menyambut Ulang Tahun Ke-50 buat seluruh warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Semailah benih budaya perpaduan dan membuang mesej berbaur kebencian dengan sikap berkasih sayang juga rahmah antara satu sama lain.
“Ini juga selaras dengan konsep Madani yang menuntut kita harus santuni semua dan bermuafakat dalam menjayakan agenda pembangunan di negara ini.
“Semoga Wilayah Persekutuan terus maju, mampan dan sejahtera!,” katanya di laman sosial rasminya.