28 pelajar Tingkatan Lima ditahan

Hulu Selangor, Feb 20.
Keseronokan 28 pelajar Tingkatan Lima yang menunggang motosikal dan mengganggu ketenteraman awam ditahan polis berhampiran sebuah bangunan kosong di Jalan Kemboja, Bukit Sentosa, di sini, semalam.

Operasi jam 1.30 petang itu dilakukan susulan polis menerima enam aduan dari pihak sekolah dan penduduk setempat berhubung kegiatan tidak sihat yang semakin berleluasa di kawasan terbabit.

Lebih mengejutkan apabila hasil pemeriksaan terhadap semua pelajar mendapati 26 daripadanya adalah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebuah sekolah menengah di Bukit Sentosa manakala dua lagi bukan calon SPM.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kumpulan remaja terbabit didapati kerap mengambil peluang untuk berbuat demikian sehingga mengganggu ketenteraman awam. Mereka akan berkumpul di kawasan bangunan kosong untuk ‘rem’ atau mengeluarkan bunyi bising ekzos motosikal masing-masing.

“Oleh itu, polis mengambil tindakan dengan menahan semua mereka yang berusia 17 tahun untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Ahmad Faizal berkata, polis turut mengeluarkan enam saman atas kesalahan tiada nombor pendaftaran dan cermin sisi.

Beliau berkata, semua remaja yang ditahan diarah menolak motosikal ke Balai Polis Bukit Sentosa dengan jarak kira-kira 3.5 kilometer.

Terdahulu, tular di laman sosial beberapa video yang dimuat naik pengguna Facebook memaparkan sekumpulan pelajar sekolah menolak motosikal masing-masing selepas ditahan polis kerana membuat bising.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here