Kuala Lumpur, Feb 20.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun menahan sakit kira-kira 40 minit selepas kakinya tersangkut di ekslator sebuah pusat belah belah di Jalan Taman Ibu Kota di sini, semalam.
Terdahulu, Pasukan Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima laporan kejadian pada jam 4.56 petang dan menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Setapak ke lokasi.
Komander Operasi Bomba, Pegawai Bomba Kanan II Shamsul Bahri Hashim, berkata pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati tiga jari kaki kiri kanak-kanak malang itu tersangkut pada ekskalator berkenaan.
“Kerja mengeluarkan kaki mangsa yang dijalankan oleh pasukan bomba dan pihak pengurusan bangunan mengambil masa kira-kira 40 minit. Akibat daripada kejadian itu, tiga jari kaki mangsa cedera dengan satu daripadanya patah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan daripada sebuah hospital berhampiran untuk tindakan lanjut.




















