Bintang tersohor Sudirman Arshad

Kuala Lumpur, Feb 22.
Sudirman, bintang kelahiran Temerloh yang juga dikenali sebagai penghibur rakyat, menghembuskan nafas terakhir pada 22 Feb 1992 ketika berusia 37 tahun, selepas terlantar sakit hampir tujuh bulan.

Kini, pada ulang tahun ke-32 kematian bintang legenda itu, Daniel Dharanee, jurutera audio berusia 22 tahun yang sering terlibat dengan konsert Sudirman dan nama besar lain di bawah naungan Mike Bernie Entertainment, berkongsi beberapa kisah peribadi Sudirman.

Selama lima tahun mengiringi Dharanee berada di sisi bosnya itu tanpa mengira waktu susah atau senang. Katanya, Sudirman mengakui dirinya dibelenggu hutang, tetapi merayunya dengan berjanji akan bekerja keras untuk menjadikan keadaan lebih stabil dan meminta bantuannya untuk mencapai matlamat itu.

Sudirman kemudian menjadi penghibur “live” paling popular selepas dinobatkan artis paling popular selama tujuh tahun berturut-turut, baik dalam media berbahasa Melayu mahupun Inggeris. Jadualnya memang padat dengan tujuh persembahan bagi dua minggu terakhir April, lapan pada Mei dan tempahan sehingga Disember tahun itu.

Dharanee menerima tugasan itu dan menjadi pendengar setia luahan hati Sudirman. Beliau memetik perbualan mereka dalam penerbangan ke Pulau Pinang, di mana Sudirman menyuarakan kebimbangan menghantuinya. Katanya, penyanyi itu mengakui: “Saya kini berhutang. Saya tidak mahu mati dalam keadaan miskin atau berhutang. Tolonglah pastikan itu tidak berlaku.

“Janganlah biarkan saya mati dalam keadaan seperti P. Ramlee dan Saloma, idola dan inspirasi utama saya. Mereka tidak lagi dikenang. Tiada siapa peduli sumbangan mereka.”

Pada 1989, artis yang pernah menjadi peguam itu ke London sebagai “underdog”, namun beliau muncul wira negara dengan gelaran “Penghibur Terbaik Asia” di Royal Albert Hall.

Beliau artis kedua negara yang meraih gelaran sebesar itu dalam dunia hiburan Asia, selepas P. Ramlee dinobatkan “Pelakon Terbaik” menerusi Festival Filem Asia Tokyo keempat pada 1957.

Sehari selepas kemenangannya di London, Sudirman membawa anak saudaranya, Atai bersama Dharanee untuk percutian tujuh hari di Lake District, Cumbria, di mana penyanyi itu membeli sebuah rumah.

“Sudirman sangat gembira ketika itu, tetapi sering bimbang umurnya tidak panjang. Beliau risau tidak mampu terus memberikan persembahan unggul dan ligat atas pentas pada usia 50-an atau 60-an.

“Beliau terfikir apa yang akan dilakukannya jika tidak dapat membuat persembahan lagi,” kata Dharanee yang kemudian mencadangkan Sudirman membina akademi seni persembahan sebagai legasinya.

“Beliau suka idea itu, malangnya beliau ‘pergi’ terlalu awal.”

Hari ini, Dharanee, 61, bakal menubuhkan akademi bagi mencari bakat muzik di Asia Tenggara, selain sedang menulis buku berdasarkan penghibur tersohor Asia itu yang pergi sebelum sempat dikenali dunia. FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here