G. Muniammah patah tulang belikat akibat dihempap papan iklan

Jerantut, Mac 4.
Seorang wanita patah tulang belikat selepas motosikal ditunggangnya dihempap sebuah papan iklan yang terletak di persimpangan lampu isyarat Tok Gajah, Jalan Jerantut-Maran di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Azman Mat Kamis, berkata siasatan awal mendapati ketika tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 3.20 petang, G. Muniammah 57, yang menunggang motosikal jenis Yamaha dihempap sebuah papan iklan yang melayang ke arahnya.

“Ketika penunggang motosikal itu melepasi lampu isyarat berwarna hijau, secara tiba-tiba angin bertiup kencang dan membadai papan iklan terbabit lalu melayang dan menghempap mangsa.

“Pada waktu kejadian juga berlaku hujan dan angin kencang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Azman berkata, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi, mata dan dihantar ke Hospital Jerantut untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa yang juga seorang pekerja Alam Flora turut patah tulang belikat akibat kejadian itu dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here