Kuala Lumpur, Mac.
Seorang bapa menuntut ganti rugi RM3 juta daripada sebuah universiti selepas anak perempuan bongsunya meninggal dunia akibat renjatan elektrik di bilik asrama di Kedah, dua tahun lalu.
Tuntutan itu dibuat lelaki berusia 55 tahun berkenaan selaku plaintif yang menamakan universiti itu sebagai defendan susulan kematian pelajar wanita itu, 21, menerusi writ saman difailkan firma guaman, Tetuan M. Manoharan & Co di Mahkamah Tinggi Alor Setar, 28 Februari lalu.
Mengikut penyataan tuntutan difailkan bersama writ berkenaan, bapa mangsa berkata, anaknya itu ditemui terbaring tidak bernyawa di lantai bilik berkenaan, pada 21 Mei 2022.
Katanya, siasatan dibuat polis dan bedah siasat dijalankan pegawai perubatan ke atas mayat pelajar itu untuk menentukan punca kematian.”Pemeriksaan bedah siasat menyimpulkan bahawa punca kematian adalah renjatan elektrik.
“Selanjutnya, Mahkamah Sesyen Alor Setar bertindak di bawah Seksyen 333 Kanun Tatacara Jenayah memastikan bahawa renjatan elektrik adalah punca kematian perempuan berkenaan.
“Perkara ini disahkan dalam surat bertarikh 1 Februari 2023 daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Sesyen Alor Setar kepada plaintif,” katanya.
Bapa mangsa berkata, universiti itu dan pelajar terbabit ada hubungan istimewa dan oleh itu, defendan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan anaknya itu daripada tidak terkena renjatan elektrik di bilik berkenaan.
“Gagal mengambil langkah mencukupi sama ada melalui pemeriksaan berkala untuk memastikan pemasangan elektrik berada dalam keadaan yang secara munasabah adalah selamat, tidak rosak atau berbahaya,” katanya.





















