Johor Bahru, Mac.
Dua beranak yang maut dalam nahas empat kenderaan di Kilometer 18.8, Lebuhraya Pasir Gudang di sini malam Selasa, dalam perjalanan menghadiri upacara keagamaan kematian seorang kenalan di kampung halaman dekat Negeri Sembilan.
G. Suresh Kumar, 46, berkata ibunya, M. Kullamah, 73, bersama adiknya, G. Murugan, 45, yang memandu Honda Accord sepatutnya pulang ke kampung halaman mereka di Bahau untuk tujuan itu.
Suresh Kumar berkata, adiknya yang bekerja di Singapura mengambil kesempatan pulang ke rumahnya di daerah sama bagi membuat persiapan sesi baharu persekolahan dua anak lelakinya yang masih bersekolah rendah.
Adik mahu bawa emak pulang ke Bahau kerana ada orang meninggal. Saya sudah lama tidak jumpa emak kerana bekerja di Singapura dan tidak ulang-alik. Jika ikut perancangan, Jumaat ini baru jumpa untuk bawa emak pulang ke kampung dan untuk buat persiapan sesi baharu persekolahan anak-anak.
“Oleh kerana ada orang meninggal, adik bawa emak pulang lebih awal tapi sudah jadi begini,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, hari ini.
Kemalangan jam 11.41 malam itu mengorbankan tiga nyawa dalam nahas empat kenderaan membabitkan tiga kereta dan sebuah treler.
Seorang lagi yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah pemandu Perodua Alza, Chong Chee Ping, 46.
Pemandu Perodua Myvi berusia 40-an dilaporkan cedera manakala pemandu treler berusia 28 tahun cedera di pinggang.