Tangguh kemasukan 500,000 pekerja Bangladesh – MTUC

 Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu kerajaan menangguhkan kemasukan pekerja asing ke negara ini, khususnya 500,000 pekerja Bangladesh yang dijangka tiba mulai bulan ini. Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, berkata sebaliknya kerajaan perlu terlebih dahulu menjalankan kajian impak kemasukan pekerja asing terbabit ke negara ini terhadap pekerja tempatan.

Beliau berkata, wujud kebimbangan kemasukan 500,000 pekerja asing dari Bangladesh itu akan menyebabkan aktiviti buruh paksa tidak dapat dikawal dan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia, malah menyebabkan pekerja tempatan kehilangan pekerjaan. Peningkatan pekerja asing juga, katanya akan menyebabkan penambahan pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang ditugaskan membuat pemeriksaan terhadap premis yang menggajikan pekerja asing.

Adakah kerajaan sudah menambah pegawai JTK sebagai persediaan kemasukan 500,000 pekerja asing ini? Adakah bilangan pegawai JTK mencukupi pada masa sekarang? MTUC dimaklumkan antara sebab buruh paksa berlaku kerana kegagalan pemeriksaan secara berkala berikutan kekurangan pegawai di premis yang hanya berjumlah 400 orang sahaja.

“Justeru MTUC berharap kerajaan dapat menangguhkan kemasukan pekerja asing dan menjalankan kajian impak ke atas pekerja tempatan bagi mengelak peribahasa ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’ menjadi kenyataan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarul Baharin berkata, MTUC amat bimbang dengan ketibaan 500,000 pekerja Bangladesh dengan alasan oleh kerajaan ia adalah permintaan daripada majikan yang memerlukan pekerja asing untuk meneruskan operasi syarikat.

Katanya, MTUC pada 2015 sudah membantah kemasukan pekerja Bangladesh seramai 1.5 juta orang dengan alasan sama iaitu permintaan syarikat, namun mencadangkan kerajaan memberi tumpuan melatih pekerja tempatan dan menaikkan skala gaji.

“Bagaimanapun selepas tujuh tahun berlalu, kerajaan masih gagal menarik minat pekerja tempatan dan gagal menangani isu kekurangan pekerja atau sememangnya majikan terlalu mahukan pekerja asing bagi memudahkan eksplotasi pekerja asing sehingga Malaysia dikategorikan sebagai negara buruh paksa?

“Malaysia sudah berada dalam negara yang bermasalah berkaitan buruh paksa yang merugikan negara dengan larangan produk minyak sawit serta produk sarung tangan untuk memasuki pasaran Amerika Syarikat adalah bukti isu buruh paksa yang berlaku di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya mengambil kesempatan dalam tempoh pandemik COVID-19 selama dua tahun ini untuk membuat kajian teliti terhadap persediaan pekerja tempatan dalam menggantikan pekerja asing.

“MTUC juga sudah memberikan pandangan ketika sesi libat urus berhubung keperluan penggajian pekerja asing pada 27 September 2021 dengan menyatakan bahawa kemasukan pekerja asing diuruskan secara ‘G to G’ (kerajaan dengan kerajaan) dan juga bidang pekerjaan yang spesifik kepada pekerja asing,” katanya.

Kamarul Baharin berkata, MTUC turut curiga kerana ada pekerja asing dipercayai diambil sebagai pekerja am, tetapi diarahkan sebagai pemandu kenderaan, penyelia, kerani dan sebagainya kerana pekerjaan itu sepatutnya di isi oleh pekerja tempatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here