Matrikulasi buat pelajar India boleh membawa perubahan signifikan!

Kuala Lumpur, Mac.
Seorang bekas penjawat awam kanan menggesa Putrajaya mencontohi pentadbiran Barisan Nasional menyediakan sekurang-kurangnya 2,200 tempat matrikulasi buat masyarakat India.

N.S. Rajendran, bekas ketua pengarah Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic) berkata, inisiatif ini boleh membawa perubahan signifikan kepada masyarakat itu dan dilaksanakan tanpa kesukaran.

“Saya meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian slot matrikulasi untuk pelajar India seperti dilakukan seorang bekas perdana menteri dengan menyediakan 2,200 tempat, khasnya buat pelajar B40.

“Kita boleh lakukan ini (pada 2018), jadi ini bukan perkara baharu.“(Jika) pelajar miskin ini memasuki matrikulasi dan meneruskan pelajaran di universiti tempatan, selepas menamatkan pelajaran, mereka boleh mendapat akses kepada pekerjaan baik yang dapat mengubah komuniti itu,” katanya kepada FMT.

Pada Disember 2018, pentadbiran Pakatan Harapan menjenamakan semula Sedic sebagai Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Pada April 2018, sejurus sebelum PRU14, Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak mengumumkan peruntukan 700 slot matrikulasi buat pelajar India, tambahan kepada 1,500 tempat sedia ada.

Minggu lalu, Senator C. Sivaraj menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menunjukkan komitmennya untuk menaikkan taraf sosioekonomi kaum India dengan menyediakan 2,500 slot matrikulasi kepada masyarakat itu.

Ahli Parlimen DAP, V. Ganabatirau turut menggesa Anwar mengumumkan jumlah sebenar slot matrikulasi untuk pelajar India kerana kekurangan ketelusan selepas PH berkuasa pada 2018.

Ganabatirau mendakwa pengganti Najib – Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob – mengurangkan jumlah kerusi untuk pelajar India secara drastik tanpa mendedahkan angka itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here