Butterworth, Apr.
Syarikat bas ekspres wajib menyediakan pemandu kedua untuk perjalanan melebihi 300 kilometer (km) bagi menjamin keselamatan penumpang.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Zulkifly Ismail, berkata peraturan itu turut diwajibkan bagi tempoh perjalanan melebihi empat jam dalam memastikan pemandu mendapat rehat secukupnya, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan, terutama kemalangan maut.
“Perjalanan jauh melebihi 300km memerlukan pemandu kedua, tak boleh seorang (pemandu), tetapi banyak pengusaha syarikat bas yang gagal untuk menyediakannya.
“Alasan yang sering diberikan, pemandu kedua akan naik di terminal yang seterusnya untuk menggantikan pemandu pertama, bagaimanapun peraturan menetapkan bahawa dua pemandu diperlukan semasa memulakan perjalanan,” katanya.
Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan bas ekspres pada Op Khas Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 di Terminal Bas Penang Sentral, di sini malam tadi.
Zulkifly berkata, kegagalan menyediakan pemandu kedua adalah satu kesalahan dan mana-mana syarikat yang didapati ingkar, tindakan akan diambil dengan melarang mereka daripada memulakan perjalanan sehingga peraturan itu dipatuhi.