Lelaki ugut bakar isteri ditahan

Kuala Lumpur.
Seorang lelaki ditahan semalam selepas dipercayai mengugut dan mengasari isterinya termasuk mengikat tangan serta menitiskan cecair lilin panas pada badan wanita itu.

Ketua Polis Gerik, Zulkifli Mahmood, berkata mangsa berusia 35 tahun membuat laporan di Balai Polis Kampung Lalang, Gerik, pada 1.35 pagi mendakwa diugut dan dicederakan suaminya.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa didatangi oleh suaminya berusia 42 tahun ketika sedang tidur kira-kira 10.30 malam pada Sabtu sebelum kedua-dua tangan diikat.

“Suspek turut memegang sebilah pisau. Suspek dipercayai bertindak demikian kerana menuduh mangsa berlaku curang dan memaksa mangsa mengaku terhadap tuduhan itu.

“Suspek turut merentap rantai emas dan gelang tangan dipakai mangsa sehingga terputus selain mengoyakkan baju serta menitiskan cecair lilin pada badan mangsa sambil mengugut untuk membakar isterinya itu.

“Mangsa bagaimanapun menafikan tuduhan itu,” katanya dalam kenyataan.

Zulkifli berkata, mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri selepas berpura-pura ingin ke tandas dengan meminta suspek membuka ikatan.

“Dia kemudian menemui serangkai kunci kereta di bahagian dapur rumah dan terus melarikan diri ke balai polis berhampiran dengan menaiki kereta berkenaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here