Sitiawan,Apr.
Leftenan T. Sivasutan yang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut semalam disifatkan sebagai lambang kegembiraan keluarga.
Justeru pemergian anak lelaki tunggal kepada pasangan M. Thanjappan, 61 dan isteri, R. Paramesvary 60, bukan hanya memisahkan, malah turut meragut kebahagiaan keluarga.
Thanjappan berkata, Sivasutan yang juga anak kedua daripada tiga beradik tidak suka meninggikan suara, malah sentiasa berusaha untuk memenuhi permintaan kedua-dua orang tuanya.
“Mendiang anak seorang yang setia dan baik hati. Dia tidak pernah menolak permintaan kami, sama ada membelikan pakaian atau apa-apa saja dia akan cuba memenuhinya. “Kalau ibunya sakit dia akan segera membeli ubat, jika dia suka sesuatu (barang yang dijual) di TikTok dia akan tanya pada saya jika (barang) itu bagus dan esoknya barang itu sudah sampai (dibelikan untuk mereka).
“Dia adalah lambang kegembiraan keluarga kami. Kehilangan Sivasutan bukan saja memisahkan kami secara fizikal, tetapi ia membawa semua kebahagiaan dan kebaikannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Serdang Jaya, di sini. Sivasutan antara tiga kru pesawat Fennec yang terbabit nahas dengan sebuah lagi aset TLDM iaitu HOM-AW139 yang dinaiki tujuh anggota.
Semua 10 pegawai dan anggota TLDN yang terbabit nahas itu disahkan maut.
Mendiang yang bertugas sebagai juruterbang di unit Skuadron 502 baru melangsungkan perkahwinan bersama isteri yang juga seorang doktor gigi Januari lalu.
Thanjappan berkata, jika diikutkan hati dia sanggup untuk menggantikan tempat Sivasutan, namun mengakui ia sudah takdir buat anak kesayangannya itu.
“Hakikat (Sivasutan sudah tiada) sukar diterima dan kami sekeluarga masih memerlukan masa untuk menerimanya,” katanya.