Shah Alam, Mei.
Polis menahan seorang lelaki warga Peru dan merampas 95 kapsul berisi kokain yang disembunyikan di dalam perutnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 17 Mei lalu.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata lelaki berusia 20 tahun yang juga ‘keldai dadah’ itu diberkas sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD KLIA hasil maklumat polis antarabangsa (Interpol). Lelaki terbabit berada dalam keadaan mencurigakan di Balai Ketibaan Antarabangsa kira-kira 8.30 pagi sejurus tiba melalui penerbangan dari Peru dan Dubai, Emiriah Arab Bersatu ke KLIA.
“Pemeriksaan dan imbasan sinar-X oleh pegawai perubatan mengesan imej mencurigakan di dalam perut lelaki itu dan dia kemudian ditahan di sebuah hospital berdekatan dengan pemantauan polis.
“Hasil pemantauan selama tiga hari, lelaki terbabit mengeluarkan 95 ketulan kapsul berwarna putih kekuningan dipercayai berisi dadah jenis kokain dianggar seberat 1,152 gram,” katanya pada sidang media.
Hussein berkata lelaki itu mendakwa menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum menerima arahan seterusnya daripada kartel dadah untuk membawa bekalan berkenaan ke destinasi seterusnya.
Beliau berkata dadah dianggar bernilai RM230,400 itu dipercayai untuk pasaran antarabangsa dan lelaki berkenaan kini direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB).




















