Pukul ibu hingga luka, gigi gugur

Kuala Lumpur, Feb 22.
Seorang penganggur memukul ibu kandungnya dengan pengunci stereng hingga cedera hanya kerana marahkan wanita itu meletakkan almari kasut berhampiran pintu masuk ke biliknya, semalam.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Jalan Bunga Melor, Taman Muda Cheras di sini, kira-kira jam 12.30 malam ketika wanita warga emas berusia 74 tahun itu sedang lena tidur.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata suspek yang berusia 36 tahun dipercayai memukul kepala mangsa dengan pengunci stereng.

Katanya, akibat pukulan itu, kepala mangsa berdarah selain dua batang gigi hadapannya patah. Seorang lagi anak mangsa yang cuba menghentikan perbuatan suspek turut ditumbuk.

Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada tindakan mangsa meletakkan almari kasut sehingga menghalang laluan masuk ke bilik suspek,’ katanya menerusi kenyataan, hari ini. Mohd Azam berkata, siasatan turut mendapati suspek dan mangsa tidak mempunyai hubungan yang baik sejak 10 tahun lalu.

“Susulan aduan diterima daripada mangsa, kami menahan seorang lelaki berusia 36 tahun untuk siasatan dan hasil saringan air kencing ke atas suspek yang juga seorang penganggur didapati negatif.

“Suspek kini direman tujuh hari sehingga 27 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau benda yang berbahaya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here