Pemandu mabuk bakal berdepan denda RM100,000, penjara 20 tahun – Lim

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman terhadap kesalahan itu dengan hukuman penjara bagi pesalah akan turut ditingkatkan kepada 20 tahun berbanding 10 tahun ketika ini.

“Kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman bagi Seksyen 41 (Akta Pengangkutan Jalan 1987) ini bagi mereka yang telah menyebabkan kemalangan sehingga menyebabkan kematian apabila memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi lima beradik yang kehilangan bapa mereka, Khairizul Mohamad Noor, 39, selepas dilanggar pemandu kereta dipercayai mabuk dalam kejadian Ahad lepas, di kediaman keluarga itu di Jalan Hj Mohd Saad, dekat Bagan Jermal, di sini hari ini.

Menurutnya, pada masa ini hukuman di bawah seksyen berkenaan memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.

Beliau berkata kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia agak tinggi iaitu antara yang tertinggi di dunia.

“Jadi, kita harus mendapat kerjasama daripada orang ramai sungguh pun kadar sebenarnya sudah menurun tetapi kita harap kita dapat mengurangkan kadar itu. Kita tidak mahu lihat hampir 7,000 korban nyawa berlaku hampir setiap tahun akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

Terdahulu, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan meluangkan masa menyantuni lima beradik itu dan turut menyampaikan wang sumbangan sebanyak RM5,000.

Dalam nahas kira-kira pukul 5 pagi 9 Feb lepas, Khairizul meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Zuriana Hasan, 36, yang cedera parah kini dirawat di Hospital Seberang Jaya, dalam keadaan koma.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here