8 ditahan disyaki terkait elemen IS

Putrajaya, Jun-
Lapan individu disyaki terkait dengan elemen radikalisme IS ditahan polis pada hujung minggu lalu.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan enam lelaki dan dua wanita itu ditahan dalam suatu operasi serentak di Perak, Selangor, Johor, dan Kelantan.

Menurutnya, siasatan awal polis terhadap semua suspek mendapati “wujud ancaman terhadap Yang Di-Pertuan Agong, perdana menteri, orang kenamaan dan pimpinan tertinggi polis,” katanya pada sidang media.

Suspek terbabit, berusia antara 25 dan 70 tahun, daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dan status ekonomi, seperti bekas pensyarah.

Mereka dikatakan menjadi radikal kerana percaya kepimpinan negara yang tidak berteraskan sistem khalifah wajar diperangi.

Mereka ditahan berpandukan Kesalahan Berkaitan Keganasan dalam Kanun Keseksaan. Kes disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma.

Sebelum ini, pada 17 Mei lalu, dua anggota polis terbunuh manakala seorang cedera dalam serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor oleh seorang lelaki.

Saifuddin tidak mengaitkan penahanan ini dengan peristiwa serangan balai polis itu.

“Cawangan Khas buat kerja sepanjang masa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here