Kuala Lumpur, Jun-
Sebuah pesawat Malaysia Airlines yang dalam penerbangan ke Bangkok, Thailand terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Malaysia Airlines berkata pesawat Airbus A330-200, penerbangan MH780 berpatah balik ke KLIA selepas mengalami isu tekanan udara pada jam 5.59 petang ketika dalam penerbangan ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok.
“Juruterbang kemudiannya melakukan penurunan kecemasan walaupun tidak melebihi altitud kabin dan topeng oksigen penumpang tidak diturunkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Malaysia Airlines, pesawat itu kekal stabil dan selamat mendarat di KLIA pada jam 8.18 malam.
Terdahulu, AviationSource News melaporkan pesawat itu berpatah balik selepas mengisytiharkan kecemasan.
Menurut portal berita penerbangan berpangkalan di UK itu, pesawat itu sudah berada di ruang udara Thailand sebelum mengisytiharkan kecemasan dan mengubah haluan ke Kuala Lumpur.