Putrajaya, Julai- Kementerian Komunikasi hari ini mengumumkan Pakej Rahmah Prabayar Siswa pada harga tidak melebihi RM30, dengan minimum permulaan data sebanyak 30GB untuk tempoh sah laku selama 180 hari.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil semasa mengumumkan perkara itu berkata pakej tersebut, khusus untuk golongan pelajar lepasan menengah yang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) terpilih.
“Pakej Rahmah Prabayar Siswa ini boleh dilanggan mulai 16 Ogos depan menerusi lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications (YES).
“Tawaran pakej ini merupakan hasil perluasan Pakej Internet Mudah Alih (prabayar) Rahmah yang diperkenalkan pada tahun lepas,” katanya ketika merasmikan Persidangan Etika dan Tanggungjawab Komunikasi Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.