Sepang, Julai-
Dua penunggang motosikal maut selepas dirempuh lori dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Jalan Bukit Dugang-Desa Putra, di sini,semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian pada jam 9.46 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 9.10 pagi melibatkan tujuh kenderaan iaitu empat kereta, dua motosikal dan sebuah lori yang dipandu dari arah Putrajaya menghala Jenderam.
“Lori itu kemudiannya melanggar enam kenderaan lain yang berada dilaluan bertentangan,” katanya melalui satu kenyataan.
Wan Kamarul berkata seorang lelaki yang juga penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lelaki lain yang menunggang motosikal berasingan, dilaporkan meninggal ketika menerima rawatan lanjut di Zon Merah Hospital Putrajaya.
“Setibanya di Jalan Bukit Dugang, pemandu lori dipercayai terkena serangan jantung menyebabkan kenderaanyang dipandu hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.Katanya, pemandu lori berkenaan mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Putrajaya.
Difahamkan, seorang penunggang yang maut dikenali sebagai Mohamad Firdaus Yahya, bertugas sebagai akauntan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) manakala identiti seorang lagi mangsa belum diperolehi.





















