Jumlah kutipan sampah turun, Sungai Klang makin bersih

Jumlah kutipan sampah di Sungai Klang menurun kepada 4,408 tan setakat Jun, berbanding 10,292 tan bagi tempoh sama tahun lalu.

Wakil perhubungan korporat Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) berkata penurunan lebih separuh didorong penggunaan alat pembersih sampah sungai (interceptor) yang dilancar pada 26 Ogos tahun lalu.

“LLSB juga memasang penghadang (log boom) di muara untuk memerangkap sampah manakala interceptor mengutip sisa-sisa yang terlepas.

“Faktor lain didorong kesedaran orang ramai terhadap dampak pembuangan sampah ke dalam sungai,” kata Janitha Sukumaran ketika dihubungi.

Beliau berkata kerja kutipan sampah di bawah projek Gerbang Maritim Selangor sepanjang 56 kilometer dilakukan setiap hari dari pusat beli-belah Mid Valley hingga Pelabuhan Klang.

Interceptor mampu mengutip sampah terapung di sungai sehingga 100,000 kilogram sehari dan Sungai Klang dipilih kerana tahap pencemaran tinggi.

Inisiatif Kerajaan Negeri itu memfokuskan kepada penjanaan semula Sungai Klang dengan keluasan 35,612 hektar. LLSB pula bertanggungjawab dalam aspek pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here