8 gerai Uptown Danau Kota musnah terbakar

Kuala Lumpur, Julai-
Lapan gerai jualan di Bazaria Wangsa Maju atau lebih dikenali sebagai ‘Uptown Danau Kota’ di Jalan Danau 1, Setapak, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.02 pagi tadi sebelum pasukan anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi.

Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba M. Letchumanan, berkata operasi pemadaman kebakaran itu dijalankan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju dan dibantu BBP Setapak membabitkan kekuatan 14 anggota lain-lain pangkat.

“Setiba di lokasi kejadian, pasukan mendapati lapan gerai jualan di Bazaria Wangsa Maju (Uptown Danau Kota) terbakar. Kebakaran membabitkan gerai berkeluasan 30×20 kaki persegi. Kesemua gerai terbabit musnah 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden berkenaan dan punca kebakaran masih dalam siasatan unit forensik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here