‘Bapa adalah idola saya’ – Anak wira Bukit Jenalik teruskan legasi bapa dalam PDRM

போரில் வீர மரணமுற்ற சங்கதேவனின் மகன் பால தேவன்

Putrajaya, Ogos-
Bagi Inspektor S. Baladevan, kisah pengorbanan mendiang bapanya, Detektif Kpl R.Sanghadevan, yang terkorban dalam tragedi berdarah di Bukit Jenalik, Sauk, Perak, pada tahun 2000, adalah sumber inspirasi utama baginya meneruskan legasi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bapa adalah idola saya,” kata pegawai polis berusia 44 tahun yang kini bertugas di Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, ketika ditanya mengapa beliau memilih untuk mengikuti jejak langkah mendiang bapanya menyertai Sang Saka Biru.

Baladevan tidak dapat menahan emosinya dan terpaksa berhenti beberapa ketika sebelum meneruskan perbualan apabila mengenangkan bapanya.

“Minat untuk menyertai polis sudah ada sejak saya kecil. Selepas mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya memberitahu bapa tentang hasrat untuk menyertai polis, tetapi dia nasihat supaya saya menyambung pelajaran terlebih dahulu sebelum menyertai pasukan.

“Bapa memberitahu saya supaya berusaha meraih pangkat lebih tinggi daripada yang dimilikinya dan dia menggalakkan saya sambung belajar dahulu sebelum menyertai pasukan polis,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas sambutan Hari Pahlawan 2024 di Dataran Pahlawan di sini semalam.

Baladevan yang juga anak kedua daripada enam beradik, menceritakan selepas tamat pengajian, beliau terus memutuskan untuk menyertai polis, dan keputusan itu mendapat sokongan penuh daripada ibunya, S Malligarani. Adik lelakinya turut menyertai pasukan polis, yang menyerlahkan lagi komitmen keluarga ini kepada perkhidmatan awam.

Mengimbas kembali kejadian yang menimpa bapanya 24 tahun lepas, Baladevan berkata, ia berlaku ketika beliau baru mendaftarkan diri untuk melanjutkan pelajaran diploma dalam jurusan kejuruteraan mekanikal di Johor Bahru.

“Bapa bersama saya selama tiga minggu di sana untuk tujuan pendaftaran dan urusan lain. Kejadian ini berlaku selepas seminggu dia mula bertugas,” katanya.

Beliau ketika itu sedang mengikuti kelas pengajian, apabila menerima panggilan telefon daripada pegawai polis yang memintanya pulang ke Kuala Kangsar dengan segera.

“Setibanya di rumah, barulah saya dapat tahu mengenai kejadian yang menimpa ayah saya. Melihat persembahan pantomin khas bertajuk ‘Op Subuh’ tadi, baru saya memahami dengan lebih jelas apa yang berlaku ketika itu,” katanya.

Op Subuh, yang dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia dan PDRM, adalah operasi khas untuk menyerbu pangkalan Al-Maunah yang berpusat di Sauk, Perak pada 2 Julai 2000.

Kumpulan itu merancang untuk menggulingkan kerajaan pada masa itu, dan operasi berkenaan telah berjaya menewaskan ketua kumpulan Al-Maunah, yang menyebabkan semua anggota kumpulan itu kemudiannya menyerah diri. Namun tragedi di Bukit Jenalik telah meragut nyawa Sanghadevan, seorang anggota Cawangan Khas PDRM, serta seorang anggota komando Grup Gerak Khas ATM, Truper Mathew Medan – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here