Guan Eng senyum dapat wang RM100,000 dalam sampul – Saksi

Mahkamah Sesyen, hari ini diberitahu Lim Guan Eng tersenyum dan gembira apabila menerima dua sampul masing-masing mengandungi wang tunai RM100,000, bertujuan rasuah daripada Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Wang itu diserahkan di pejabat bekas Ketua Menteri Pulau Pinang terbabit di Tingkat 28, Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) pada 2013 dan 2014. Zarul Ahmad, 62, yang juga ahli perniagaan berkata, sumber wang itu daripada syarikatnya dan ia sebahagian sumbangan rasuah daripada 10 peratus diminta Guan Eng merujuk keuntungan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di negeri itu.

Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-23 berkata, perjanjian awal ditandatangani menjadi sebab pemberian wang kali pertama pada Ogos 2013 yang disifatkan sebagai tanda penting pembayaran.

Pembayaran kali pertama saya membuat janji temu dengan Guan Eng melalui telefon dengan Faridah Hani iaitu Setiausaha Sulit Kanan Guan Eng. Saya memberitahu ingin berjumpa dengannya bagi memberi laporan perkembangan projek itu dan mendapat nasihat serta hala tuju daripada beliau (Guan Eng). Selepas mendapat tarikh lazimnya jam 11 pagi atau 12 tengah hari, saya akan berjumpa dengan beliau. Saya menyiapkan wang RM100,000 dalam sampul bersaiz A4 dan meletakkannya dalam beg komputer saya,” katanya ketika membaca penyataan bertulis di hadapan Hakim Azura Alwi.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu. Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Dia turut didakwa atas tuduhan pindaan iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang RM3,300,000 dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702. Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara jam 12.30 tengah malam hingga 2 pagi. Zarul Ahmad berkata, beliau tidak memberitahu Guan Eng jumlah wang dalam sampul itu ketika ia diserahkan pada 2013 dan hanya mengatakan ‘ini untuk tuan’. Guan Eng mengambil sampul itu dan pasti ia mengandungi wang. Saya pun beredar dari pejabat beliau dan Guan Eng cuma senyum apabila terima sampul itu.

Sesiapa yang ingin berjumpa dengan Guan Eng harus membuat janji temu terlebih dulu. Pada hari perjumpaan saya mengambil pas lawatan di kaunter tingkat tiga. Tidak ada tandatangan atau buku pelawat diperlukan, katanya. Mengenai pembayaran rasuah kali kedua pada Januari 2014 menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Zarul Ahmad berkata, beliau pergi bersendirian ke pejabat ahli politik itu, pada jam 5 petang.

Saksi itu berkata, beliau dipelawa masuk pejabat itu oleh Guan Eng sendiri dan tiada pegawai lain ketika itu. Saya ada membawa wang tunai RM100,000 yang diletakkan dalam satu sampul putih. Dalam percakapan dengan Guan Eng sebelum saya berikan wang adalah berkenaan dengan perkembangan kajian kebolehlaksanaan yang saya tengah lakukan berkaitan projek ini.-BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here