Pengganti Zuki akan diumum masa terdekat, kata PM

Putrajaya, Ogos-
Pengganti Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali yang tamat kontraknya Sabtu ini akan diumum dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Calon KSN, saya akan umum dalam masa terdekat,”katanya selepas majlis himpunan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM).“Ini perhimpunan akhir bagi beliau (Zuki) selaku KSN… nak kata dia bersara tak juga, kerana dia ada tugas-tugas penting yang lain tapi (dalam) perkhidmatan awam… beliau sebagai pendamping yang penting.

“…tetapi beliau telah berjanji akan bersedia seperti sedia kala untuk membantu apa saja yang diperlukan untuk menjayakan negara Madani,”kata Anwar yang juga menteri kewangan.Zuki, dilantik sebagai ketua setiausaha negara ke-15 pada 31 Disember 2019. Kontrak beliau kemudian disambung bagi tempoh dua tahun hingga 10 Ogos tahun ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Anwar berkata Zuki banyak berkorban dan membantu melancarkan urusan pentadbiran negara termasuk melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa 1 Dis ini.

“Saya nak ambil kesempatan untuk sampaikan penghargaan dan rasa terhutang budi kerana beliau walaupun berpengalaman dengan perdana menteri-perdana menteri sebelumnya tetap menjalankan khidmat benar-benar profesional.

“Hari pertama nasihat beliau pandangan beliau (kepada saya) sangat konsisten… yang terbaik untuk perkhidmatan (awam) dan negara,”katanya.

“Jadi saya dalam beberapa keputusan merujuk pandangan beliau termasuk skim persaraan, peranan KSN sangat utama dalam menjayakannya.”

Anwar turut berterima kasih kepada Zuki yang tanpa mengeluh membantunya menyelesaikan sebarang perkara berbangkit berkait pentadbiran negara.

“Saya selalu hubungi dia (Zuki) Sabtu malam, kalau saya lapang hari Ahad… saya telefon tu saya tak peduli waktunya tapi inilah satu susuk penjawat awam, satu tenaga yang tidak pernah mengeluh atau letih atau memberi alasan tetapi mencari jawapan sebaik mungkin.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here