Pinda Akta Pengangkutan Jalan 1987 – SUHAKAM

Kuala Lumpur, Ogos-
Kerajaan digesa meminda Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi memastikan syarikat atau majikan boleh dikenakan hukuman lebih berat jika pemandu mereka memandu dengan cuai hingga mengakibatkan kematian.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Ragunath Kesavan, berkata tindakan yang boleh diambil terhadap syarikat itu termasuklah disenaraihitam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pindaan itu juga disifatkan penting bagi memastikan hukuman lebih berat dikenakan terhadap mana-mana pemandu yang cuai sehingga mengakibatkan kematian, apatah lagi ia disebabkan penyalahgunaan dadah.

“Kerajaan boleh menimbangkan untuk meminda APJ dengan memasukkan klausa bahawa pihak syarikat atau majikan turut dikenakan tindakan tegas. Pengarah dan pemegang saham syarikat terbabit sekurang-kurangnya mesti disenaraihitamkan,” katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan dua beradik maut selepas rumah didiami mereka dirempuh treler yang dipandu seorang lelaki dalam kejadian di Kilometer 5, Jalan Pekan-Rompin, Kampung Ketapang Hilir awal pagi Sabtu lalu.

Dalam nahas kira-kira jam 4.15 pagi itu, mangsa, Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adiknya, Mohd Waldon Faris, 21, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here