Kuala Lumpur, Ogos-
Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan menyerahkan laporan pasukAan khas yang diklasifikasikan sebagai sulit mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh kepada isterinya.
Hakim Su Tiang Joo membenarkan permohonan Susanna Liew untuk mendapatkan dokumen tersebut atas alasan laporan itu relevan dalam saman yang sedang berjalan terhadap kerajaan dan polis berkaitan kehilangan Koh.
Beliau memerintahkan kerajaan untuk mengemukakan laporan pasukan khas itu dalam tempoh tiga hari bermula hari ini.
Dalam keputusannya, Su berkata kerajaan gagal memberikan alasan yang kukuh mengapa laporan tersebut diklasifikasikan sebagai rahsia.Defendan berhujah bahawa laporan tersebut tidak relevan dengan perbicaraan dan (jika digunakan) tidak mengikat mahkamah.
“Namun, pada pandangan saya, sama ada laporan itu mengikat atau tidak, ia bergantung kepada penilaian mahkamah,”kata hakim.
Dalam permohonannya, Liew berkata keluarganya mempunyai hak untuk mengetahui hasil siasatan pasukan khas mengenai kehilangan Koh.
Liew menamakan ketua polis negara dan beberapa bekas pegawai tinggi polis dalam samannya.
Senarai tersebut termasuk bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar dan Fuzi Harun, serta bekas ketua penolong pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Cawangan Khas Bukit Aman Awaludin Jadid.
Liew mahu pihak berkuasa dipertanggungjawabkan atas kehilangan paksa itu, serta salah guna kuasa dalam jawatan awam. Beliau juga menuntut ganti rugi atas kehilangan suaminya.
Perbicaraan bersambung 22 Ogos ini.





















