Kuala Lumpur, Sep-
Dua lagi doktor pakar tulang hospital kerajaan dan seorang ejen direman empat hari bagi membantu siasatan kes pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin di Mahkamah Majistret George Town hari ini.
Semuanya ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam susulan tangkapan tiga doktor dan 30 individu membabitkan kes sama pada Rabu.
Sumber dipetik Sinar Harian berkata, dua doktor pakar berusia 43 dan 50 tahun bertugas di sebuah hospital kerajaan di Seberang Jaya, manakala ejen terbabit berusia 32 tahun. “Modus operandi kartel ini juga sama, iaitu membuat tuntutan palsu melibatkan kecederaan tulang belakang dan ‘ligamen anterior cruciate’ (ACL),” Dipercayai mereka bergiat aktif sejak 2017 hingga tahun ini.
“Kemungkinan ada lagi tangkapan membabitkan kartel tuntutan Perkeso serta dokumen palsu dengan bantuan doktor bersekongkol.”
Jumlah tangkapan setakat ini ialah lima doktor pakar tulang dan 31 individu, termasuk 19 pemohon tuntutan, sembilan ejen dan tiga “runner” berusia 26 hingga 60 tahun.





















