Kuala Lumpur, Sep
Kira-kira 51 peratus atau satu daripada dua golongan dewasa di Terengganu mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata peningkatan kes penduduk di negeri itu mengalami masalah obesiti berpunca daripada pengambilan gula berlebihan.
Beliau berkata, penduduk terutama berusia antara 25 hingga 50 tahun yang mengalami masalah berat badan berlebihan turut berisiko menghidap penyakit tidak berjangkit terutama kencing manis dan darah tinggi.
“Hasil laporan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati, kes berlebihan berat badan di Terengganu meningkat sebanyak 47.5 peratus pada 2015, 2019 (49 peratus), manakala 51 peratus pada tahun ini.”Bagi mengurangkan peningkatan kes berat badan berlebihan, seluruh masyarakat di negeri ini diingatkan bukan sahaja menjenguk viral pelbagai makanan disiarkan melalui media sosial, sebaliknya disaran menjenguk juga masalah kesihatan akan dihadapi,” katanya.
Terdahulu, Dr Kasemani merasmikan sambutan Funwalk 10,000 langkah dan Wellness Hub Open Day Sempena Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) peringkat negeri di Klinik Kesihatan Seberang Takir, di sini.
Dr Kasemani berkata, seluruh masyarakat diminta untuk terus mengamalkan cara hidup sihat dalam kehidupan seharian.
“Amalan cara hidup sihat perlu menjadi satu budaya dalam kehidupan bukan hanya sepanjang BMSS,” katanya.




















