Elak senasib Broga, laluan keluar masuk Bukit Wawasan dikawal ketat

Laluan keluar masuk ke Bukit Wawasan di sini dikawal rapi bagi mengelak kesesakan dan pencerobohan kawasan larangan, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata pemantauan dijalankan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dan Persatuan Komuniti Bukit Wawasan bermula 8 pagi hingga 4.30 petang.

“Sukarelawan ditugaskan untuk menjaga laluan A (masuk) dan laluan B (keluar), memeriksa suhu dan merekodkan maklumat sebelum membenarkan pendaki masuk.

“Rondaan juga dibuat bagi memastikan tiada pendaki melepasi kawasan larangan seperti ‘blue lagoon’ dan air terjun. Sekiranya dikesan, mereka (sukarelawan) akan lapor kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya selepas melawat tapak pendakian itu hari ini.

Bukit Wawasan atau Hutan Simpan Ayer Hitam dimiliki Universiti Putra Malaysia bagi aktiviti penyelidikan dan bukan dikategorikan sebagai hutan rekreasi.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Kinrara berkata pihaknya tidak teragak-agak menutup kawasan tersebut sekiranya tatacara operasi piawai (SOP) terutama membabitkan penjarakan sosial gagal dipatuhi.

“Kita tidak mahu situasi sama seperti di Bukit Broga, Semenyih yang ditutup. Saya percaya mereka (pendaki) di sini mengikut SOP dan syarat tambahan persatuan komuniti demi keselamatan.

“Saya berterima kasih kepada polis dan persatuan komuniti kerana membantu Kerajaan Negeri mengawal keadaan di sini sebaiknya,” kata Sze Han lagi.

Bukit Broga ditutup selama dua minggu bermula semalam selepas pihak berkuasa mengesan pelanggaran SOP di kawasan pendakian terkenal itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here