Kuala Lumpur, Sep-
Polis percaya lebih banyak penderaan yang berlaku terhadap penghuni rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dapat dibongkar dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata beberapa rakaman video berkaitan penderaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang menghuni di rumah-rumah amal berkenaan kini dalam penelitian pihak polis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dua rakaman video yang tular menunjukkan penderaan dialami dua kanak-kanak dipercayai penghuni rumah amal berkenaan.
“Kita percaya banyak lagi penderaan yang berlaku. Kita akan buat laporan dan jalankan siasatan. Saya sudah arahkan pegawai ‘task force’ (pasukan khas) kes ini untuk membuat laporan.. Insha-Allah,” katanya kepada media.
Menerusi dua rakaman video yang tular itu, salah satunya yang berdurasi seminit sembilan saat menunjukkan seorang kanak-kanak sedang menahan kesakitan sambil menangis dipercayai akibat dadanya ditindih dengan lutut oleh seorang lelaki.




















