Kuala Lumpur, Sep-
Bersempena dengan Ulang Tahun Bank Rakyat ke-70, dividen istimewa Bank Rakyat sebanyak dua peratus akan mula dibayar pada 28 September 2024 dengan jumlah sebanyak RM56.6 juta kepada 784,487anggota.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, pembayaran dividen istimewa ini
mencerminkan komitmen Bank Rakyat untuk terus memberikan pulangan yang
kompetitif kepada anggota, di samping menandakan pencapaian Bank Rakyat yang
terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi masyarakat sebagai
salah satu institusi kewangan Islam terbesar serta bank koperasi Islam terbesar di
Malaysia.
Bank Rakyat komited untuk mengekalkan prestasi pertumbuhan yang baik dan kekal
relevan saban tahun dipacu oleh pelaksanaan pendekatan baharu berlandaskan pelan
perniagaan dan pelan strategik jangka panjang. Ini termasuk dalam memanfaatkan
potensi yang boleh diteroka dalam perniagaan dan operasi melalui transformasi digital
bagi mewujudkan nilai jangka panjang untuk anggota dan pelanggan.
“Dividen ini bukan sahaja merupakan tambahan kepada pendapatan anggota tetapi
juga membantu mencapai matlamat kewangan peribadi mereka, sama ada untuk
simpanan, pelaburan atau perbelanjaan harian.”
Pada 5 April lalu, Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen Bank Rakyat bagi
tahun kewangan 2023 sebanyak 15 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak
RM424.62 juta. Ini termasuk pengumuman dividen istimewa sebanyak dua peratus
bersempena dengan ulang tahunnya yang ke-70.
Selain itu, Kumpulan Bank Rakyat turut merekodkan keuntungan sebelum cukai dan
zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 sebanyak RM1.76 bilion,
berbanding RM1.70 bilion pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 3.8
peratus atau RM64.48 juta.























