Kuala Lumpur, Okt-
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mensasarkan untuk menyalurkan keseluruhan Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) berjumlah RM50 juta yang disediakan kepada Sahabat Usahawan India Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, sehingga 30 September lepas, sebanyak RM22.715 juta sudah disalurkan kepada 2,644 wanita India yang menjadi Sahabat Usahawan AIM sejak PENN dilancarkan pada 13 April.
“Kita lihat sehingga Oktober, setelah enam bulan, memang ia (penyaluran dana) mengikut sasaran dan kita rasa pada hujung 2024 atau permulaan 2025 kita akan habis guna dana ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Taklimat dan Penyerahan Pembiayaan Dana Khas PENN, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, trend permohonan dan kelulusan terhadap dana itu memperlihatkan peningkatan dengan negeri Perak mencatatkan penerima paling ramai iaitu 818 orang diikuti Selangor (535) dan Pahang (292).
“Oleh itu, saya ingin menyeru lebih ramai wanita India, khususnya golongan muda dan lepasan universiti yang masih belum mendapat pekerjaan supaya mereka menceburi bidang keusahawanan,” katanya.