Segamat, Mei-
Sebuah lori ‘tersangkut’ dalam sebuah terowong di Bukit Kecewa, Jalan Ibrahim, Labis, di sini, semalam.
Kecuaian seorang lelaki kerana tidak cakna soal ketinggian menyebabkan lori dipandu itu tersangkut di terowong.
Kejadian jam 4.28 petang menyebabkan lori dipandu lelaki berusia 20-an rosak teruk di bahagian atas selepas merempuh jambatan atas terowong pada ketinggian tiga meter.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata sebelum kejadian, lori dipandu lelaki terbabit dari Labis dalam perjalanan ke Selangor.
Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandunya dikatakan tidak peka terhadap ketinggian sehingga menyebabkan bahagian atas tersangkut dalam terowong itu.
Bagaimanapun, pemandu lori tidak cedera. Kes disiasat mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana gagal mematuhi isyarat lalu lintas.” katanya.
Difahamkan, ini kejadian kedua membabitkan lori tersangkut dalam terowong itu selepas kes pertama beberapa tahun lalu.




















