Dewan terbakar kerana bunga api dan mercun

Teluk Intan, Nov-
Seorang penganjur majlis sambutan hari jadi ditahan kerana disyaki terbabit insiden khianat menggunakan bunga api dan mercun sehingga berlaku kebakaran dewan terbuka, Arena Square Teluk Intan di Jalan Raja, dekat Padang Speedy, di sini, malam Ahad.

Dalam kejadian jam 11.38 malam, bumbung dewan milik Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) itu musnah terbakar sebelum api berjaya dipadamkan oleh bomba.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata suspek lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di rumahnya di Teluk Intan kira-kira jam 3 petang, semalam.

“Hasil siasatan awal bersama pasukan forensik bomba mendapati kebakaran mungkin berpunca daripada percikan bunga api yang ditembak ke arah bumbung dewan.

“Penganjur telah menyewa dewan daripada MPTI, dan dipercayai menyediakan pelbagai jenis mercun serta bunga api untuk digunakan kira-kira 500 tetamu yang hadir.

“Bagaimanapun, hasil semakan mendapati penganjur tidak memiliki lesen sah untuk penggunaan bunga api dan mercun terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here