Pengganti saya pentingkan diri, punca kegagalan Wawasan 2020

Malaysia berada di landasan kukuh untuk mencapai Wawasan 2020 pada satu ketika, namun pelaksanaan lemah rancangan yang diatur membawa kepada kegagalan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Dalam wawancara khas dengan FMT, Dr Mahathir berkata, Malaysia pada kedudukan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan beliau sebelum berundur sebagai perdana menteri pada 2003.

Bagaimanapun, pengganti beliau, Abdullah Ahmad Badawi dan kemudiannya, Najib Razak, menyimpang daripada rancangan yang diaturnya, sehingga terkeluar daripada landasan Wawasan 2020.

 “Apabila kita melancarkan (Wawasan 2020) pada 1991, kita menikmati pertumbuhan cukup tinggi dan dasar-dasar yang digubal nampaknya berkesan.

“Saya sangka dasar-dasar itu akan diteruskan sepanjang tempoh 30 tahun yang ditetapkan. Malangnya, selepas saya berundur, Abdullah Ahmad Badawi dan kemudiannya Najib Razak menukar haluan.

“Mereka tidak mengutamakan pembangunan negara. Menekankan projek besar supaya boleh buat duit untuk diri mereka.”

Abdullah menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri. Najib mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2009 dan berkuasa sehingga Barisan Nasional tewas pada pilihan raya umum 2018 kepada Pakatan Harapan yang dipimpin Mahathir.

Mahathir yakin Malaysia mampu kekal sebagai ‘Harimau Asia’ – nama jolokan yang diberi kepada kuasa ekonomi – sekiranya Abdullah dan Najib jujur melaksanakan rancangan pembangunan yang diaturnya.

“Kita gagal mencapai Wawasan 2020 kerana mereka mengambil haluan salah,” kata Mahathir.

Mahathir berkata beliau melakukan sebaik mungkin dalam membimbing pemimpin pelapis untuk menggantikannya, namun mereka ‘sengaja’ menyimpang daripada rancangan yang membawa kemakmuran kepada negara.

“Mereka telah melihat bagaimana negara membangun dengan pesat. Bagaimana kita mencapai kejayaan ini menerusi perancangan. (Mereka tahu) apa dasar keseluruhan kami,” kata Mahathir.

“Semua ini diketahui oleh pemimpin yang menyusuli saya, tetapi mereka sengaja memilih untuk tidak mengikut perancangan yang ditetapkan,” kata beliau.

“Sebaliknya, mereka mencanang diri sendiri, untuk mempunyai legasi tersendiri. Tetapi mereka gagal dengan teruknya. Legasi mereka adalah kleptrokrasi – kerajaan pencuri – dan itu bukanlah suatu pencapaian,” kata Mahathir.

Mahathir yakin jika PH berkuasa selama 5 hingga 10 tahun, ia mampu melonjakkan Malaysia ke status negaa maju dan mencapai wawasan yang diilhamkannya pada 1991.

Wawasan 2020 menetapkan hala tuju negara untuk menjadi negara maju, bukan sahaja dari sudut ekonomi, tetapi juga sistem demokrasi matang dan masyarakat yang mengamalkan nilai moral dan etika yang tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here