Melaka, Nov-
Tiga individu rentung selepas kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas merempuh tembok jambatan di Jalan Kampung Seri Lanchang, Merlimau, di sini, pagi tadi.
Kemalangan kira-kira jam 9.30 pagi itu turut mengorbankan pemandu teksi terbabit berusia 71 tahun.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, ketika kejadian ketiga-tiga mangsa Husali Umar, 84, Mastura Said, 61 dan pemandu kenderaan S. Subbramaniam, dalam perjalanan dari Jasin menghala ke Merlimau.
Menurutnya, setiba di lokasi, kenderaan dinaiki mereka, Proton Iswara dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok jambatan sebelum terbakar.
“Akibat perlanggaran tersebut kenderaan yang dinaiki pasangan suami isteri itu menyebabkan kesemua mangsa maut di tempat kejadian akibat terbakar seluruh badan.
“Siasatan awal mendapati kebakaran kenderaan dipercayai berpunca dari kebocoran gas NGV yang dipasang pada kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Suami isteri warga emas itu mahu menziarahi anaknya di Taman Merlimau Perdana dengan menaiki teksi tidak kesampaian apabila rentung selepas kenderaan dinaiki terbakar di Kampung Lanchang, Jalan Jasin-Merlimau di sini, pada Khamis.





















