Malaysia-Indonesia komited pertingkat hubungan pertahanan

Malaysia dan Indonesia akan pertingkatkan lagi hubungan pertahanan dua hala dan menekankan pentingnya memperluas kerjasama sedia ada demi kepentingan bersama walaupun berdepan dengan situasi penularan pandemik Covid-19.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya daripada Indonesia Prabowo Subianto telah mengadakan sidang video pada 4.30 petang semalam, dengan kedua-dua menteri memperakui hubungan kukuh yang telah sekian lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia.

“Mereka telah mengadakan perbincangan terbuka merangkumi pelbagai topik yang mencerminkan keakraban kedua-dua negara. Hubung pertahanan antara Malaysia dan Indonesia terus berkembang melalui Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) yang ditubuhkan pada 1972.

“Hubungan pertahanan turut diperkukuh melalui beberapa inisiatif keselamatan sub-rantau iaitu Rondaan Selat Melaka (MSP) dan Perjanjian Kerjasama Tiga Hala (TCA) bersama-sama dengan Filipina,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Prabowo juga mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikannya sebagai Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) dan Menteri Pertahanan.

Sebelum sesi sidang video itu, Ismail Sabri menerima kunjungan hormat daripada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia Md Shahidul Islam.

“Antara perkara dibincangkan pada pertemuan itu adalah mengenai usaha untuk memperkukuh hubungan pertahanan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh serta isu berkaitan kebimbangan bersama seperti isu berkaitan penularan Covid-19, termasuk penghantaran pulang migran tanpa dokumen daripada Bangladesh,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here