Taikun Tan Sri Ananda Krishnan Kehidupan Awal dan Kerjaya

Kuala Lumpur, Nov-
Hartawan dan tokoh perniagaan terkemuka Malaysia, Tan Sri T. Ananda Krishnan meninggal dunia semalam pada usia 86 tahun.

Ananda Krishnan  meninggalkan jejak besar dalam dunia korporat Malaysia susulan kejayaan mengasaskan beberapa syarikat terkemuka dan muncul antara individu terkaya di negara ini.

Ananda yang dilahirkan pada 1938 di Brickfields, mempunyai keturunan dari Sri Lanka.

Perjalanan akademik beliau bermula di Sekolah Tamil Vivekananda dan seterusnya Victoria Institution yang berprestij di ibu negara.

Beliau melanjutkan pengajian dan meraih Ijazah Sarjana Muda dalam Sains Politik dan Ekonomi di Universiti Melbourne, Australia dan seterusnya Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Harvard di Amerika Syarikat.

Ananda memulakan kerjayanya dengan mengasaskan sebuah firma perunding, MAI Holdings Sdn Bhd, sebelum menceburi industri minyak dan gas menerusi Exoil Trading dan memperoleh permit cari gali di pelbagai negara.

Beliau meninggalkan anak lelaki tunggal, Ven Ajahn Siripanyo yang mana ibunya, Momwajarongse Suprinda Chakraban, berketurunan diraja Thailand.

Selain Ven yang kini merupakan seorang sami Buddha, Ananda mempunyai dua anak perempuan.

Taikun perniagaan itu merupakan pengasas dan membangunkan syarikat dalam bidang telekomunikasi, televisyen satelit, perkhidmatan medan minyak dan pembangunan hartanah industri yang sememangnya menjadi sebahagian daripada landskap korporat Malaysia.

Walaupun bergelar bilionair, sisi lain Ananda sebagai individu sebaliknya lebih tertutup, tidak banyak bercakap dan tidak gemar dengan publisiti media.

Namun, ketangkasannya dalam tindak tanduk korporat menjadikan beliau sebagai bahan bualan dunia perniagaan, tidak hanya di Malaysia tetapi juga di negara asing menerusi pelbagai usaha yang merentasi banyak sektor, termasuk perkhidmatan berkaitan minyak dan gas.

Barisan syarikat Ananda daripada TGV Cinemas kepada Maxis Bhd, Astro Holdings, Bumi Armada, MEASAT Satellite Systems dan Tanjong Plc serta produk-produk yang ditawarkan, juga dikenali, malah menjadi sebahagian daripada nama isi rumah di Malaysia.

Selain itu, sumbangan besar dikaitkan dengan Ananda di Kuala Lumpur adalah penglibatannya dalam pembangunan mercu tanda ikonik Menara Berkembar Petronas dan hartanah sekitar Suria KLCC.

Tidak kurang pentingnya adalah MEASAT atau kini dikenali sebagai Binariang Sdn Bhd yang melancarkan dua satelit pertamanya pada 1996, sekali gus menyaksikan Malaysia menembusi industri teknologi angkasa.

Kejayaan itu turut membuka jalan bagi perkhidmatan telefon dan transmisi data di seluruh negara.

Kenyataan oleh syarikat pegangan pelaburan diterajui beliau selaku pengerusi, Usaha Tegas Sdn Bhd, menyifatkan Ananda sebagai memberi sumbangan besar terhadap pembinaan negara serta dunia korporat.

Ananda, yang mengasaskan Maxis Bhd pada 1 April, 1993, telah menyumbang kepada banyak kejayaan dalam syarikat telekomunikasi itu.

Antara tindakan beliau adalah menjadikan Maxis sebagai sebuah syarikat persendirian pada 2007, dianggap antara pengambilalihan terbesar dalam korporat Malaysia dengan nilai yang amat besar iaitu RM16.4 bilion dan menyenaraikannya semula pada 19 Nov, 2009.

Terkenal dengan sifat dermawan dan kemurahan hati menerusi usaha kebajikan, Ananda berperanan penting dalam membawa acara global seperti Live Aid, memanfaatkan platform media untuk memacu usaha amal.

Beliau secara berterusan menyumbang untuk tujuan amal serta kepada institusi pendidikan dan badan-badan lain.

Kerja-kerja amal lain adalah melalui yayasan seperti Harapan Nusantara dan Yu Cai Foundation, yang menyediakan biasiswa untuk kalangan pelajar tempatan dan menyokong pembangunan pendidikan.

Ananda akan dikenang sebagai perintis yang mengubah sektor media, telekomunikasi dan hiburan Malaysia.

Pastinya, inovasi dan sumbangan beliau turut menyumbang dari segi melonjakkan kedudukan Malaysia dalam perniagaan dan teknologi global. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here